Sunday, September 13, 2009

SUCIKAN JIWA

Bulan Ramadhan adalah masa terbaik untuk kita menyucikan jiwa. Inilah masa untuk melentur jiwa supaya patuh dan taat pada perintah Allah. Jiwa yang selama ini melakukan maksiat kepada Allah, perlu disucikan. Tidak ada peluang yang lebih baik untuk mensucikan diri selain Ramadhan kerana di bulan yang penuh dengan limpahan keberkatan ini, syaitan dibelenggu sebagai tanda kemuliaan Ramadhan. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

"Apabila datang Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan"
(HR al-Bukhari dan Muslim)
Jiwa kita diumpamakan sebagai sebuah mentol yang terang. Namun setiap kali kita melakukan dosa dan maksiat, satu titik hitam akan melekat ke dalam hati dan jiwa kita. Lama kelamaan mentol yang bersinar terang itu akan dilitupi oleh titik hitam sehingga mentol yang terang itu tidak dapat lagi menembuskan cahayanya. Begitulah jiwa kita yang perlu dibersihkan supaya cahayanya dapat memancar untuk menunjuk jalan. Oleh itu, sucikanlah jiwa dengan banyak beristighfar mohon keampunan daripada Allah atau sesama makhluk. Bertaubatlah dengan taubat nasuha iaitu:
1. Segera meninggalkan maksiat yang dilakukan.
2. Menyesal di atas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.
3. Berazam untuk tidak akan mengulangi lagi maksiat.
Itulah syarat taubat nasuha yang dapat menyucikan jiwa. Apabila jiwa telah suci akan terpancarlah hidayah Allah. Apabila jiwa telah dipenuhi dengan hidayah Allah dan syaitan pula telah dibelenggu dengan kemuliaan Ramadhan, maka inilah masanya, Subuh tidak lagi terlewat malah saat menunggunya diisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Inilah masanya, tangan berjabat mengeratkan silaturrahim, hati diisi dengan kasih sayang melalui zakat, membuang dendam dan dengki yang selama ini terpatri di hati. Inilah masanya tiada lagi kata nista, umpat dan keji melata di bibir. Inilah masanya, alunan zikir bertali arus menunjukkan rindu kasih seorang hamba kepada Tuhannya. Inilah masanya, tangan kanan menghulur sumbangan kepada yang memerlukan sebagai tanda persaudaraan sesama Islam. Jiran tetangga bertukar juadah, mengeratkan hubungan 'saudara' terdekat. Inilah masanya, ibu bapa diziarahi, hubungan silaturrahim diperbaiki dan pusara dikunjungi. Inilah masanya, pakaian yang labuh dan menutupi aurat menjadi pilihan, tiada lagi yang jarang atau kurang bahan. Inilah masanya...masjid dan surau dipenuhi dengan umat Islam yang ingin mendekatkan diri kepada Allah melalui solat berjemaah termasuklah solat tarawih. Inilah masanya, doa dipanjatkan, semoga kehidupan di dunia diberkati, kehidupan di akhirat bahagia menanti.Inilah masanya, sucikan jiwa dan ikhlaskan hati bagi kita memulakan hidup baru, sebagai garis permulaan ke arah kejayaan abadi di dunia dan di akhirat.
Mudah-mudahan, Ramadhan kali ini dapat menyucikan jiwa kita daripada segala dosa yang sekian lama menutup jiwa kita. Mohonlah keampunan dan pertolongan daripada Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

MEMBENTUK MATLAMAT CEMERLANG KEPENTINGAN MEMBINA MATLAMAT 1. MENGETAHUI KEBOLEHAN DIRI Apabila sesuatu matlamat dibina, kita akan...