Monday, December 7, 2009

KENALI DIRI

Mengetahui anugerah Allah kepada diri.
  • Setiap orang ada kelebihan-kelebihan tertentu yang tidak dipunyai oleh orang lain.
  • Anugerah yang terpenting bagi manusia ialah bakat-bakat tertentu dan mempergunakannya dengan sebaik-baiknya.
  • Memahami diri dan mengenal pasti keupayaan-keupayaan yang dimiliki, kemudian gembleng secukup-cukupnya.

Wednesday, December 2, 2009

DASAR PENGAMBILAN BAGI KELAYAKAN SETARAF STPM

Peluang bagi Lepasan Diploma sememangnya wujud pada setiap tahun untuk mereka yang mempunyai keputusan cemerlang. Namun begitu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ingin menjelaskan bahawa penawaran Program Diploma ini adalah bermatlamat untuk mengisi kekosongan tenaga sepenuh masa atau separa profesional dan kemahiran yang diperlukan oleh negara. Laluan ke Program Ijazah Pertama yang lazim digunakan dalam mana-mana sistem pendidikan adalah program berbentuk STPM dan Matrikulasi.

Dalam proses pengambilan Lepasan Diploma untuk Program Ijazah Pertama di IPTA, kebanyakan yang diterima masuk adalah layak untuk kemasukan ke tahun kedua program tersebut berasaskan kepada pemindahan kredit. Dengan ini pemilihan mereka dilakukan secara berasingan dengan kumpulan lepasan STPM dan Matrikulasi. Bilangan tempat yang disediakan tidak termasuk dalam bilangan tempat pengambilan lepasan STPM/setaraf. Lepasan Diploma dalam bidang kejuruteraan yang dipilih untuk program Ijazah Pertama Kejuruteraan berkenaan adalah contoh bagi kes ini. Mereka layak untuk pemindahan kredit dan akan terus ke tahun kedua.

Bagi Lepasan Diploma yang memohon ke program Ijazah Pertama dalam bidang yang berlainan dan tidak layak untuk pemindahan kredit, maka mereka terpaksa bersaing untuk kemasukan ke tahun pertama. Dengan ini pemilihan mereka akan bersama dengan calon lepasan STPM dan Matrikulasi. Dalam kes ini lepasan STPM dan Matrikulasi akan diberi keutamaan. Conoth untuk kes sebegini adalah Lepasan Diploma Sains yang memohon Program Ijazah Pertama Kejuruteraan. Mereka hanya layak ke tahun pertama, dan dengan ini mereka perlu bersaing dengan Lepasan STPM dan Matrikulasi.

PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN (ISMP)

  • Berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Julai 2006, latihan perguruan bagi guru yang akan ditempatkan di sekolah rendah akan dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di Institut Pendidikan Guru (IPG) manakala latihan bagi guru yang akan dibekalkan ke Sekolah Menengah, Kolej Matrikulasi, Politeknik dan Kolej Komuniti akan dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
  • Mulai sesi akademik 2007/2008 dalam usaha untuk melahirkan Guru Standard Malaysia, seseorang calon yang ingin menceburi bidang profesion perguruan perlulah menduduki dan lulus Ujian Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK) dan temu duga bagi melayakkan mereka mengikuti latihan perguruan di IPG. Bagi calon guru sekolah menengah mereka dikehendaki menduduki dan lulus Ujian Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) dan temu duga bagi melayakkan mereka mengikuti program ISMP di IPTA.

PERHATIAN:

Apa pun maklumat ini tertakluk kepada pindaan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP), Jabatan Pengajian Tinggi.

Saturday, November 28, 2009

APLIKASI DALAM TALIAN PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA BAGI PROGRAM PENGAJIAN LEPASAN STPM SESI AKADEMIK 2010/2011

PENDAHULUAN
  • Laman Web Rasmi Kemasukan ke IPTA - http://upu.mohe.gov.my/
  • Tarikh tutup permohonan Aplikasi Dalam Talian - 30 Mac 2010.

PROGRAM PENGAJIAN

SYARAT PERMOHONAN
  • Terbuka kepada Warganegara Malaysia uang mempunyai Nombor Kad Pengenalan/Mykad dan Bukan Warganegara Malaysia.
  • Semua Program Pengajian di UiTM dikhaskan untuk calon Bumiputera sahaja.

SYARAT AM UNIVERSITI

  • Lulus SPM/setaraf dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu atau kepujian Bahasa Melayu kertas Julai;dan
  • mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dan Gred C (NGMP 2.00) dalam 3 mata pelajaran termasuk Pengajian Am dalam peperiksaan STPM; atau
  • mendapat sekurang-kurangnya Pangkat Jaayid dalam peperiksaan Sijil Tinggi
    Agama Malaysia (STAM); dan
  • Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET).

SYARAT KHAS

Calon perlu memenuhi syarat-syarat khas program pengajian seperti yang dinyatakan dalam syarat program e-Panduan Permohonan Kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf.

MAKLUMAT DAN PROSEDUR PERMOHONAN

  • Pelajar Lepasan STPM/Setaraf boleh memohon ke Program Pengajian Pertama di 19 buah IPTA.
  • Mulai sesi Akademik 2009/2010 USM telah mendapat status UAPEX melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) diberi autonomi menguruskan pengambilan secara berasingan. Selaras dengan pelaksanaan Program APEX oleh KPT, pengurusan permohonan, pemprosesan, pemilihan, penawaran, hebahan dan rayuan bagi Universiti Sains Malaysia (USM-Universiti Program APEX) dikendalikan oleh USM sendiri. Hanya program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) sahaja diuruskan oleh BPKP JPT. Sehubungan itu, bagi program pengajian lain selain dari program pengajian ISMP pemohon boleh melayari lawan web www.usm.my untuk maklumat lanjut.
  • Program pengajian TESL, Kesusasteraan Bahasa Inggeris dan Undang-undang perlu mendapat sekurang-kurangnya Tahap 4 (Band 4) dalam MUET untuk melayakkan calon terpilih ke program berkaitan.
  • Bagi pemohon yang berminat untuk mengikuti Program Pengajian Kompetitif seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Kesihatan Bersekutu dan beberapa disiplin Kejuruteraan perlu bersedia bersaing kerana bilangan tempat yang disediakan adalah terhad. Justeru markah potongan merit 'cut of point' pelajar bagi Program Pengajian Kompetitif adalah tinggi.
  • Pemohon dipilih berdasarkan susunan markah merit (markah akademik 90% + Markah Kokurikulum 10%), kombinasi mata pelajaran, pemilihan program pengajian dan serta bilangan tempat yang disediakan oleh IPTA.
  • Pemohon dinasihati agar menyusun 8 pilihan program pengajian mengikut keutamaan. Pilihan IPTA dan program pengajian perlu diperluaskan untuk meningkatkan peluang mendapatkan tempat di IPTA.
  • Bagi Program Pengajian yang BUKAN PENDIDIKAN yang ada ujian khas dan temu duga pemohon hanya boleh memilih dari pilihan 1 hingga 4 sahaja.
  • Jika memilih Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) hanya Pilihan 1 dan 2 sahaja.
  • Pemohon yang memohon Program Pengajian Pendidikan diwajibkan menduduki ujian Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) dan menghadiri temu duga sekiranya memenuhi syarat am, syarat khas program dan kriteria pemilihan yang ditetapkan.
  • Semakan panggilan menduduki Ujian MEdSI boleh disemak melalui laman web http://www.mpm.edu.my/ mulai 15 April 2010.
  • Ujian MEdSI ini akan dilaksanakan pada 24 April 2010 di seluruh Malaysia secara serentak.
  • Manakala panggilan menghadiri temu duga bagi Program Pengajian ISMP boleh disemak melalui laman web http://upu.mohe.gov.my/ mulai 11 Mei 2010.
  • Tarikh menghadiri temu duga bagi Program Pengajian ISMP ialah pada 18 - 24 Mei 2010.
  • Hanya pemohon yang memenuhi syarat lulus kelayakan STPM dengan pencapaian PNGK 2.00 dan STAM dengan Tahap Jayyid dan memenuhi kelayakan syarat khas program sahaja yang layak dipertimbangkan ke program pengajian yang sesuai.

TARIKH PENTING PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA

Pemohon Lepasan STPM/STAM perlu mengemukakan permohonan melalui Aplikasi Dalam Talian (Online Application)
  • Tarikh pelawaan iklan - 31 Januari 2010 (Tentatif)
  • Tarikh mengemukakan permohonan - 2 Februari 2010 (Tentatif)
  • Tarikh tutup permohonan - 30 Mac 2010. (tertakluk kepada pindaan, rujuk iklan di media massa dan laman web KPT untuk maklumat lanjut)

Tuesday, September 22, 2009

4 LANGKAH BAGAIMANA MENGEKALKAN KESAN PERUBAHAN POSITIF DALAM DIRI

1. Tekad untuk bersikap positif, berfikiran positif sepanjang masa. Elak segala yang negatif walaupun sedikit ( cakapan negatif, fikiran negatif, sikap negatif, tindakan negatif).
Unsur negatif yang sedikit akan menghilangkan sikap positif serta merta.Sikap positif akan membuat Anda dapat mengekalkan perubahan dalam diri lantas menyerapnya menjadi sebahagian daripada tabiat biasa.Sikap negatif, walaupun sedikit, akan melunturkan perubahan yang dibina. Selagi sikap negatif tidak dikurangkan, selagi itu kita akan mengalami kesukaran untuk mengekalan kesan perubahan.

2. Disiplin. Jaga disiplin, latih diri berdisiplin dalam mengekalkan perubahan yang dicipta. Sesudah berubah, jika perubahan, kekalkannya dengan disiplin. Disiplin yang terjaga akan membentuk peribadi tersendiri.

3. Ransang diri dengan cakapan-cakapan positif di dalam hati. Ingat kisah-kisah kejayaan orang lain yang pernah Anda baca.Bayangkan bagaimana kecekalan mereka. Jika mereka boleh membentuk kecekalan hati, bermakna Anda juga boleh. Jika orang lain boleh buat, Anda juga boleh. Fikirkan boleh!

4. Gambarkan imej diri yang diinginkan. Jika Anda tekad nak merubah diri menjadi rajin, gambarkan diri Anda sebagai orang rajin di dalam imaginasi minda. Bayangkan sekerap mungkin imej tu difikiran, seolah-olah ia adalah gambar pegun yang terpampang di depan mata Anda.Jika Anda nak merubah diri menjadi orang yang kaya dengan idea, bijak berkomunikasi, bayangkan diri Anda menjadi orang sedemikian. Lama kelamaan bila Anda selalu melakukan teknik ini, Anda akan terbiasa dengan sikap tersebut, menjadikannya perubahan yang dicipta kekal dalam diri.Sebab, minda separa sedar akan menangkap bayangkan minda yang ada difikiran Anda lantas mengatur sistem saraf, otot dan bahan kimia dalam badan supaya menjadi seperi yang Anda bayangkan.Apa yang kita fikirkan tentang diri kita, itulah yang akan jadi tanpa kita sendiri sedari.

Tuesday, September 15, 2009

PERMOHONAN KEMASUKAN KE MRSM TAHUN 2010

PERMOHONAN DI TUJU KHAS UNTUK MURID TINGKATAN 3
TAHUN 2009.

Sesiapa yang berminat boleh menpadatkan NOMBOR PIN (SECARA PERCUMA) di semua PEJABAT MARA NEGERI, PEJABAT MARA DAERAH DAN
MAKTAB RENDAH SAINS MARA
mulai 28 SEPTEMBER 2009 dan boleh terus mengisi
BORANG PERMOHONAN ONLINE MULAI TARIKH TERSEBUT.
JANGAN LUPA!!!
Bawa salinan kad pengenalan, surat beranak dan keputusan peperiksaan percubaan 2009 yang telah disahkan benar, semasa mendapatkan nombor pin.
SYARATNYA....
LULUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR 2009 sekurang-kurangnya LULUS dalam subjek MATEMATIK dan SAINS
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila ke
Unit Bimbingan dan Kaunseling, berjumpa kaunselor anda....
TARIKH TUTUP PERMOHONAN
25 OKTOBER 2009

Sunday, September 13, 2009

MENCARI MALAM YANG LEBIH BAIK DARIPADA SERIBU BULAN

Kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya tidak terbatas dengan penciptaan alam dan segala isinya. Malah hamba-Nya dikurniakan pula dengan satu malam yang amat istimewa iaitu Lailatulqadar atau malam yang amat bernilai. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Qadr ayat 3, yang bermaksud:

"Malam Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan".

Bagi mereka yang ingin mendapatkan keredhaan dan pahala yang banyak dan berganda, maka malam ini amat ditunggu-tunggu. Satu malam beribadat sama pahala dan ganjarannya seperti beribadat selama seribu bulan. Dengan kata lain, sesiapa yang dapat beribadat pada malam tersebut, seolah-olah telah beribadah selama 83 tahun 4 bulan. Betapa besar dan hebatnya nikmat kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Bagi mereka yang tahu menghargainya, ia adalah hadiah yang tidak ternilai, satu kurniaan daripada Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Persoalannya, bilakah berlakunya Lailatulqadar? Itulah persoalan yang sering menjadi tanda tanya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Salim daripada bapanya, katanya: seorang lelaki bermimpi melihat malam al-Qadr iaitu pada malam ke-27 bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Aku bermimpi seperti mimpimu iaitu pada 10 malam yang akhir kerana itu carilah dia pada malam-malam yang ganjil".
(HR Muslim)
Sesetengah ulama berpendapat malam Lailatulqadar yang istimewa ini mempunyai beberapa tanda atau alamat yang membezakannya dengan malam-malam yang lain. Antaranya:

1. Keadaan malam yang terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, tidaklah terlalu panas dan tidaklah pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancarkan cahayanya.
2. Air laut yang masin bertukar menjadi tawar.
3. Pokok seolah bersujud ke bumi dan kemudian akan tegak kembali seperti asalnya.
4. Matahari akan terbit pada keesokan paginya dengan sinaran yang lemah. Ia terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah s.w.t. telah mengharamkan syaitan keluar bersama matahari pada hari itu. Sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit.

Demikianlah sebahagian kecil tanda Lailatulqadar. Apa yang lebih penting ialah mengisi malam sepuluh yang terakhir dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah, dengan memperbanyakan amal ibadat seperti solat sunat, zikir, munajat, doa dan membaca al-Quran lebih daripada malam-malam Ramadhan yang lain kerana saat itu ibadat digandakan dan doa pula dikabulkan Allah. Tiada lagi malam yang lebih hebat daripada Lailatulqadar.

Mudah-mudahan Allah pertemukan kita dengan malam Lailatulqadar, hanya Allah kita mohon kekuatan dan hanya kepada Allah kita berserah.

SUCIKAN JIWA

Bulan Ramadhan adalah masa terbaik untuk kita menyucikan jiwa. Inilah masa untuk melentur jiwa supaya patuh dan taat pada perintah Allah. Jiwa yang selama ini melakukan maksiat kepada Allah, perlu disucikan. Tidak ada peluang yang lebih baik untuk mensucikan diri selain Ramadhan kerana di bulan yang penuh dengan limpahan keberkatan ini, syaitan dibelenggu sebagai tanda kemuliaan Ramadhan. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

"Apabila datang Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan"
(HR al-Bukhari dan Muslim)
Jiwa kita diumpamakan sebagai sebuah mentol yang terang. Namun setiap kali kita melakukan dosa dan maksiat, satu titik hitam akan melekat ke dalam hati dan jiwa kita. Lama kelamaan mentol yang bersinar terang itu akan dilitupi oleh titik hitam sehingga mentol yang terang itu tidak dapat lagi menembuskan cahayanya. Begitulah jiwa kita yang perlu dibersihkan supaya cahayanya dapat memancar untuk menunjuk jalan. Oleh itu, sucikanlah jiwa dengan banyak beristighfar mohon keampunan daripada Allah atau sesama makhluk. Bertaubatlah dengan taubat nasuha iaitu:
1. Segera meninggalkan maksiat yang dilakukan.
2. Menyesal di atas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.
3. Berazam untuk tidak akan mengulangi lagi maksiat.
Itulah syarat taubat nasuha yang dapat menyucikan jiwa. Apabila jiwa telah suci akan terpancarlah hidayah Allah. Apabila jiwa telah dipenuhi dengan hidayah Allah dan syaitan pula telah dibelenggu dengan kemuliaan Ramadhan, maka inilah masanya, Subuh tidak lagi terlewat malah saat menunggunya diisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Inilah masanya, tangan berjabat mengeratkan silaturrahim, hati diisi dengan kasih sayang melalui zakat, membuang dendam dan dengki yang selama ini terpatri di hati. Inilah masanya tiada lagi kata nista, umpat dan keji melata di bibir. Inilah masanya, alunan zikir bertali arus menunjukkan rindu kasih seorang hamba kepada Tuhannya. Inilah masanya, tangan kanan menghulur sumbangan kepada yang memerlukan sebagai tanda persaudaraan sesama Islam. Jiran tetangga bertukar juadah, mengeratkan hubungan 'saudara' terdekat. Inilah masanya, ibu bapa diziarahi, hubungan silaturrahim diperbaiki dan pusara dikunjungi. Inilah masanya, pakaian yang labuh dan menutupi aurat menjadi pilihan, tiada lagi yang jarang atau kurang bahan. Inilah masanya...masjid dan surau dipenuhi dengan umat Islam yang ingin mendekatkan diri kepada Allah melalui solat berjemaah termasuklah solat tarawih. Inilah masanya, doa dipanjatkan, semoga kehidupan di dunia diberkati, kehidupan di akhirat bahagia menanti.Inilah masanya, sucikan jiwa dan ikhlaskan hati bagi kita memulakan hidup baru, sebagai garis permulaan ke arah kejayaan abadi di dunia dan di akhirat.
Mudah-mudahan, Ramadhan kali ini dapat menyucikan jiwa kita daripada segala dosa yang sekian lama menutup jiwa kita. Mohonlah keampunan dan pertolongan daripada Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Wednesday, September 9, 2009

UJI MINDA

Seekor kura-kura dan arnab telah mengambil keputusan untuk mengadakan pertandingan berlari sejauh 3000 meter. Kedua-dua mereka perlu berehat untuk tidur selama 5 minit setelah berlari sejauh 1000 meter. Yakin bahawa dia mampu menang dalam pertandingan tersebut, sang arnab telah membenarkan sang kura-kura bermula lebih awal 15 minit daripadanya. Jika kelajuan larian sang arnab ialah 200 meter seminit dan kura-kura pula 100 meter seminit, siapakah yang akan menang dalam pertandingan ini?


"SELAMAT MENCUBA"
PERLUKAN JAWAPAN?
Datanglah ke Unit Bimbingan dan Kaunseling...
berjumpa dengan kaunselor anda...

SENTIASA RIANG SERTA MUDAH KETAWA

Jika kita sentiasa riang, mudah ketawa, mudah senyuman dan gemar berjenaka, maka kiata kan disukai ramai. Orang mudah dan gemar bergaul dengan kita. Selalulah berjenaka dan fikirkan bahan jenaka yang menarik, yang boleh membuat orang tertawa dan senang hati. Kerap berlatih. Cuba ikuti lagak dan jenis jenaka yang biasa dibuat oleh ahli lawak terkemuka di televisyen. Catatkan jenaka yang menarik, yang didengar dalam buku catatan. Rujuk buku catatan itu, setiap kali anda mahu berjenaka.
Pastikan bahan lawak anda tidak bersifat kasar atau mengandungi unsur bahasa yang kesat dan boleh menyinggung perasaan orang lain. Sebaik-baiknya gunakan diri anda sebagai bahan jenaka untuk mencuit hati orang. Penglibatan anda dalam kebanyakan jenaka atau bahan lucu, akan memperlihatkan kelemahan atau kekurangan sendiri. Dalam perjalanan menuju ke mercu kejayaan, anda pasti melalui banyak rintangan dan cabaran yang berliku. Pada masa yang sama, ada juga peristiwa lucu yang berlaku. Ceritakan peristiwa lucu itu dengan sikap terbuka, sekalipun mungkin peristiwa berkenaan memperlihatkan kedaifan anda. Ketawa.Jika anda mudah ketawa, anda mudah mendapat kawan.
Dipetik dari buku 100 Prinsip Tindakan
Petua-petua untuk membina
kehidupan yang bahagia
JAMIL HASHIM

CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG MUDAH DITERIMA

Untuk menjalankan tugas-tugas mendorong orang bawahan, seseorang pemimpin atau ketua perlu menjadi seorang yang mudah disukai oleh orang bawahannya. Ini tidak pula bermakna pemimpin itu perlu menjadi seorang yang popular disebabkan dia tidak mahu bersikap tegas dan mengambil tindakan yang tidak popular ke atas orang bawahan yang melanggar peraturan. Ciri mudah diterima dan disukai oleh orang bawahan adalah perkara penting kerana seseorang pemimpin itu hanya dapat mempengaruhi mereka yang dipimpinnya supaya mengubah sikap, pemikiran dan tingkah lakunya apabila mereka menyukai si pemimpin.
Tahap pertama apabila hendak mendorong orang-orang bawahan adalah dengan menjadi orang yang mudah diterima, dihormati dan disukai oleh mereka. Apabila mereka suka kepada si pemimpin mereka akan suka dengan kehadirannya di mana mereka suka bertemu, berkenalan, bekerja dengannya. Bagi pemimpin yang mempunyai daya pengaruh yang tinggi langkah pertama ialah memperbanyakkan ciri-ciri peribadi yang menjadikannya mudah disukai.
Pakar-pakar psikologi dan komunikasi memberi panduan bagaimana menjadi orang yang mudah disukai:
BERI KERJASAMA TANPA DIMINTA
Tingkatkan sikap mudah menyumbang dan memberikan kerjasama kepada sesiapa sahaja. Dalam erti kata lain, seseorang itu mesti suka menolong orang-orang lain. Orang yang pernah menerima pertolongan menyukai orang yang pernah menolongnya. Kajian-kajian pakar psikologi mendapati orang yang pernah menerima pertolongan mudah terpengaruh oleh kata-kata, pandangan dan nasihat orang yang pernah menolongnya. Kajian juga mendapati perkara yang sebaliknya juga berlaku, iaitu seseorang itu cenderung menyukai orang yang pernah ditolongnya.
BERSIKAP BAIK HATI
Jadilah orang yang jujur, ikhlas dan berbaik hati. Gambarkan sifat-sifat mulia itu dalam percakapan dan perbualan. Apabila bercakap, bercakaplah berkenaan perkara-perkara yang baik sahaja, tetapi jangan bersandiwara kerana sebaik-baik orang tahu seseorang itu cuma berpura-pura baik, kesan negatif itu berkekalan. Seseorang itu tidak mungkin dapat membuat orang-orang yang mencurigai kejujuran dan keikhlasannya menyukai dirinya.
SABAR MENDENGAR
Banyakkan mendengar daripada bercakap. Biar orang yang hendak dipengaruhi itu yang mendapat banyak peluang bercakap. Adalah sifat manusia suka mendengar suaranya sendiri barulah dia bersikap terbuka kepada pandangan dan nasihatnya dan dengan itu barulah kita dapat mempengaruhinya.
MURAH DENGAN PENGHARGAAN
Tingkatkan kemahiran menarik minat orang lain disebabkan manusia sentiasa menghargai kata-kata pujian. Gunakan teknik-teknik yang betul apabila memberi pujian. Selalulah ucapkan kata-kata penghargaan. Manusia mudah terpengaruh dengan kata-kata orang yang pandai memberi pengiktirafan dan penghargaan kepadanya. Orang yang pernah menerima pengiktirafan, pujian dan penghargaan daripada seseorang akan bersikap lebih terbuka kepada pendapat dan nasihat orang itu, sebaliknya mereka tidak suka orang yang banyak mengkritik dan menegur mereka meskipun niatnya adalah baik.
GUNAKAN BAHASA POSITIF
Apabila bercakap-cakap dan berbual-bual gunakan gaya positif dan kooperatif. Gaya positif tidak menggunakan perkataan-perkataan negatif. Gaya kooperatif pula bermakna seseorang itu tidak tunjuk dia seorang yang lebih pandai dengan cara membuktikan orang lain bodoh, salah, atau tidak betul. Orang yang tidak pandai berkomunikasi cenderung membuktikan orang lain salah bagi membuktikan dirinya betul dan lebih pandai. Tidak ada orang yang suka dirinya dibuktikan salah ataupun lebih bodoh daripada orang lain. Orang yang pernah dibuktikan bodoh, salah atau pun silap tidak akan menyukai orang itu. Gunakan cara-cara lembut dan sopan bagi membuktikan dirinya betul.
BERMINAT PADA ORANG LAIN
Apabila berbual-bual, jangan hanya berminat pada diri sendiri.Ada orang suka bercakap "saya....saya...saya..." yang sangat membosankan orang yang mendengar oleh itu berjimat cermat apabila menggunakan perkataan 'saya'. Manusia memang berminat dengan dirinya sendiri dan mereka menyangka cerita mereka adalah paling menarik untuk diperdengarkan kepada orang-orang lain. Bagi disukai oleh orang lain, jangan banyak bercerita tentang diri sendiri, sebaliknya galakkan orang lain bercerita tentnag diri mereka sendiri.
BERSIKAP AFIRMATIF
Apabila sedang berkomunikasi ucapkan kata-kata yang membuat rakan bual berasa seronok menjadi dirinya sendiri. Gambarkan seseorang itu seronok dapat mendengar biji butir perbualan rakan bualnya dengan cara tekun mendengarnya bercakap. Elakkan daripada menyampuk atau pun menyambung ayat-ayatnya. Jangan mencelah dan jangan memandang ke tempat lain dengan cara itu keperluan jiwanya akan terisi. Manusia suka kepada manusia-manusia lain yang pandai mengisi keperluan jiwanya.
Kemahiran komunikasi adalah kemahiran yang sangat besar gunanya. Menurut kajian, orang-orang yang mahir berkomunikasi dipandang sebagai orang yang mempunyai daya tarikan. Mereka juga dipandang lebih tampan, lebih manis dan lebih jelita daripada diri mereka yang sebenarnya. Ini tidaklah menghairankan kerana dengan menggunakan teknik-teknik komunikasi yang betul, setiap kali mereka itu bercakap, mereka pandai membuat orang lain berasa seronok. Akibatnya, orang yang berpeluang bercakap-cakap dan berbual-bual dengan mereka akan jatuh suka dan tertarik kepada mereka.

Tuesday, August 25, 2009

TEKNIK BELAJAR BERKUMPULAN

Antara teknik belajar yang begitu popular di kalangan pelajar serta mahasiswa adalah belajar secara berkumpulan. Belajar secara berkumpulan sebenarnya lebih berkesan berbanding dengan belajar bersendirian. Ini kerana dalam belajar secara berkumpulan, idea atau pemikiran dapat dikongsi bersama. Misalnya ada sebahagian ahli yang membaca buku yang berbeza daripada kita, pandangan daripada buku tersebut dapat diperolehi dengan segera. Begitu juga dengan pengalaman yang berbeza yang dialami oleh setiap ahli kumpulan. Namun demikian, belajar berkumpulan memerlukan adab dan disiplin diri yang tinggi. Misalnya, perlu mengemukakan pandangan secara teratur, bersedia untuk berbeza pendapat, menggunakan kumpulan sebagai wadah untuk "sumbang saran" atau menyemarakkan idea. Perkara lain yang juga perlu diberi perhatian dalam usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan adalah kesanggupan untuk berfikir secara aktif. Yakni kesanggupan untuk berhujah dalam minda dengan melakukan analisis dan hipotesis secara kritis dengan penuh adab dan akhlak disamping meyakini wibawa diri orang yang menyampaikan maklumat. Dengan sedemikian, pemikir yang baik bukanlah pemikir yang stereotype yang tidak boleh menghormati kaedah bagaimana orang yang tidak sealiran dengannya berfikir.

Sebagai contoh, katakanlah seorang pelajar yang bijak menyenaraikan isi-isi penting dalam topik "Gejala Sosial di kalangan Remaja". Pelajar ini mendapat 10 isi. Kemudian tajuk ini diberikan juga kepada kumpulan (5 hingga 7 orang) pelajar. Mereka ini dapat menyenearaikan sekurang-kurangnya 15 isi penting.

Secara luarannya dapat dilihat bahawa kumpulan dapat memberikan sumbangana yang besar jika dibandingkan dengan seorang. Namun yang menjadi dilemanya adalah kaedah yang tersusun, sistematik dan sempurna. Di sini dipaparkan kaedah yang betul tentang belajar berkumpulan.


PERANAN BELAJAR BERKUMPULAN

1. Agihkan setiap ahli dengan satu tajuk

Setiap ahli perlu diberi tanggungjawab. Jika kita menjadi ahli dalam kumpulan tersebut, kita mesti mempunyai satu tanggungjawab yang mesti dipegang. Ini membolehkan kita mengambil berat dan merasakan bahawa kita mempunyai peranan di dalam kumpulan.


2. Ahli mesti sehaluan

Ahli yang dipilih dalam kumpulan mesti mempunyai matlamat yang sama iaitu cemerlang dalam pelajaran. Kita tidak mahu ahli yang ada di dalam kumpulan untuk mencukupkan bilangan. Ahli mesti mempunyai matlamat yang jelas dan bukan hanya kerana ia sahabat karib sahaja. Dikhuatiri jika ahli seumpama ini ada, ia akan menyebabkan kumpulan kita tidak akan mencapai matlamatnya.


3. Setiap ahli perlu menjiwai tajuk tersebut

Apabila kita telah menyediakan ahli dengan setiap tajuk, kita mestilah juga memastikan bahawa kita bersedia dengan tajuk tersebut. Ini sangat penting kerana jika kita telah bersedia maka persoalan yang timbul hasil kemusykilan dari ahli yang lain dapat kita jelaskan.


4. Berbincang dengan guru atau orang yang lebih arif

Sebelum melaksanakan teknik belajar secara berkumpulan ini, sila pastikan kalu-kalau ada perkara yang tidak faham tentnag topik yang dipertanggungjawabkan. Oleh yang demikian, berbincanglah dahulu dengan guru. Ini bertujuan untuk kita lebih mendalami tentang topik tersebut. Dengan yang demikian kita akan lebih bersedia semasa perbincangan.


5. Penumpuan semasa ahli membentang

Penglibatan semua ahli membawa implikasi yang besar. Berikan penumpuan yang sewajarnya kepada ahli yang sedang membentang. Janganlah ada di antara kita semasa, semasa ahli membentang, kita tidak memberi perhatian. Andainya apabila kita sedang bercakap, ada orang tidak memberi perhatian kepada kita. Bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Sudah tentu kita merasai kita tidak dihargai. Oleh itu, berikan sepenuh-penuh penumpuan semasa rakan sedang membentang dalam kumpulan. Penghormatan dan kesediaan mendengar pembentangan ahli lain merupakan seni dalam aktiviti belajar berkumpulan ini.


6. Bersoal-jawab

Kumpulan yang dinamik dan berkembang adalah kumpulan yang wujudnya perbincangan dan soal-jawab. Semakin banyak perkara yang relevan dibincangkan semakin bertambah dinamik kumpulan itu. Ahli kumpulan bukan sahaja mendengar ahli kumpulan lain membentang semata-mata tetapi sentiasa bersoal-jawab atas perkara yang menimbulkan ketidak fahaman. Ini sebebnarnya membuka minda kita agar lebih memberikan penelitian atas isu dan tajuk yang dibincangkan. Ini menjadikan kita individu yang kritikal dan analitikal dalam membincangkan tajuk tersebut. Minda yang kritikal dan analitikal merupakan minda yang cemerlang. Galakkan diri bertanya hal-hal yang berkaitan yang tidak difahami atau bercanggah dengan pemahaman kita.


7. Agihkan bahan

Di dalam belajar berkumpulan, lantik seorang ketua, setiausaha dan bendahari secara bergilir-gilir, iaitu bagi mata pelajaran yang berbeza-beza mempunyai ketua yang berbeza-beza. Ini adalah untuk memberikan peluang dan tanggungjawab kepada semua ahli. Maka laksanakanlah tugas seperti tugas mengagihkan bahan-pbahan kepada ahli-ahli di mana dilakukan oleh setiausaha. Ketua akan menetapkan masa perjumpaan serta berbincang tentang pembahagian tajuk-tajuk.

Secara ringkasnya belajar berkumpulan banyak membantu pelajar menguasai sesuatu mata pelajaran jika dilaksanakan dengan betul.

K - Kerjasama diperlukan
U - Untuk semua ahli
M - Mesra menjadi faktor penting
P - Prihatin kepada setiap ahli
U - Ulangkaji terlebih dahulu
L - Laksanakan sebaik mungkin
A - Anggapan antara ahli mestilah positif
N - Natijah cemerlang diperolehi

Kombinasi huruf-huruf di atas diharapkan memberikan celik akal kepada kita untuk melaksanakan teknik ini sebaik mungkin.

Dipetik daripada:-
Membina Kendiri Unggul Berkarisma
Amer Shakir Zainol
Kaunselor UiTM Segamat

Tuesday, August 18, 2009

KEMAHIRAN DI DALAM KELAS

10 TEKNIK BELAJAR CEMERLANG

1. PENUHKAN KEHADIRAN ANDA DI KELAS

Jangan ponteng!!!Zaman persekolahan hanya sekali. Jauhkan masalah remeh-temeh.


2. PASTIKAN SENTIASA SEGAR KE SEKOLAH

Pastikan tidur yang cukup.
Makan dahulu sebelum ke sekolah.
Kurangkan bermain aktiviti lasak.
Sentiasa mencatat apa yang diajar oleh guru.
Elakkan berkhayal.


3. BERIKAN TUMPUAN 100% DI DALAM KELAS

Jangan bermain di dalam kelas dan jangan membudayakan sikap tidak ambil kisah semasa guru sedang mengajar.


4. BERTANYA JIKA TIDAK FAHAM

Jangan berasa segan.
Pedulikan kawan-kawan yang suka mengejek dan menyindir.
Banyak bertanya menjadikan anda pelajar yang aktif, meningkatkan keyakinan diri dan menjadikan anda tumpuan guru.


5. PASTIKAN ANDA MENGHORMATI SEMUA GURU

Semua guru harus dihormati sama ada mereka mengajar anda atau tidak.
Jangan berselidih faham dan tidak menghormati guru.
Kurangkan sikap sensitif dan angkuh.
Bersikap terbuka.
Guru lebih bersemangat apabila anda menunjukkan minat.
Berkomunikasilah dengan bijak.


6. PASTIKAN ANDA BEKERJASAMA DENGAN SEMUA RAKAN

Hormati dan bekerjsama dengan semua rakan.
Elakkan sikap berpuak-puak.
Bina kumpulan belajar.
Semua rakan anda mempunyai kelebihan tertentu. Jangan merendahkan orang lain.
Kejayaan anda adalah kejayaan seluruh kelas anda.


7. GUNA MASA LAPANG DENGAN BIJAK DI SEKOLAH

Walau pun masa lapang di sekolah adalah terhad tetapi jika ia dimanfaatkan dengan betul ianya menguntungkan anda seperti kata pepatah "duit seringgit bermula dari duit satu sen".


8. CARI MASA LAPANG UNTUK MEMBUAT KERJA RUMAH DI SEKOLAH

Kerja rumah amat membantu anda meningkatkan kemahiran pembelajaran. Oleh itu, jangan mencari helah untuk tidak menyiapkan kerja rumah. Jangan salahkan 'masa tidak cukup' apabila gagal menyiapkan kerja rumah.


9. GUNAKAN SEPENUHNYA PUSAT SUMBER SEKOLAH

Banyak maklumat dapat diperolehi.
Suasana di PSS sunyi.
Mempunyai buku-buku yang berkualiti.
Tanamkan minat suka membaca.


10. BINA RANGSANGAN DI DALAM KELAS
Susun atur kelas dengan baik, selesa dan cantik.
Hiaskanlah kelas anda.
Perbanyakkan kata-kata rangsangan.
Bina MOTO kelas anda.
Lekatkan IKRAR kelas anda di hadapan kelas.
Kebersihan kelas sentiasa diutamakan.



"CEMERLANGNYA SESEORANG ITU BUKANNYA KERANA BIJAK BERKATA-KATA TETAPI SANGGUP MELAKSANAKAN
APA YANG DIKATA"


Monday, August 17, 2009

SKIM SIMPANAN PENDIDIKAN NASIONAL (SSPN)

SSPN merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi.

PERINGATAN:

Pelajar yang ingin memohon PTPTN wajib membuka akaun SSPN. Maklumat lanjut layari laman web PTPTN...

HOTLINE : 03-2092 7788

FAKS : 03-2098 6589

E-MEL : simpanan@ptptn.gov.my

Thursday, August 6, 2009

KEMASUKAN KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Murid-murid tingkatan 3 yang berminat untuk memohon ke Sekolah Berasrama Penuh boleh link ke Laman Web Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengisi borang secara online bermula 1 September hingga 15 Oktober2009.

DIINGATKAN....

Selepas ONLINE pelajar hendaklah mencetak borang tersebut dan serahkan kepada kaunselor, Cr. Shireen bt. Abdul Latiff sebelum atau pada 14 September 2009 (Isnin) untuk pengesahan Tuan Pengetua, Datin Hajah Hadijah bt. Amir.

Segala pertanyaan dan maklumat lanjut, sila berhubung terus dengan kaunselor anda...

Sunday, August 2, 2009

LAGU MOTIVASI....Pulau Harapan

MAKLUMAN.....PROGRAM DIPLOMA PENDIDIKAN

Dimaklumkan bahawa mulai tahun 2010 semua ambilan latihan guru program Diploma Pendidikan (DP) bagi lepasan ijazah adalah ditangguhkan dan akan hanya akan diteruskan sekiranya wujud keperluan. Harap maklum.

Saturday, August 1, 2009

PERMOHONAN KE MATRIKULASI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Pelajar yang telah membeli nombor Unik ID ke Matrikulasi sila mendaftar secara online. http://www.moe.gov.my/


PERMOHONAN MELALUI ONLINE BOLEH DILAKUKAN DI UNIT BIMBINGAN DAN KAUNSELING.

EKSPO PENDIDIKAN IPTA/IPTS

TARIKH : 9 April 2009
PELANCARAN OLEH :
Tn. Hj. Mahadzir bin Hanapiah
GPK Pentadbiran SMK Alor Akar


Ruang Pameran


Persediaan untuk pameran








Tayangan Montaj





Penyampaian Sijil Penghargaan







Murid mengunjungi pameran

Friday, July 31, 2009

MINGGU PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH

TARIKH : 23 - 30 Mac 2009

PELANCARAN OLEH:
Yang Berbahagia Datin Hajah Hadijah bt. Amir,
Pengetua SMK Alor Akar


SEKITAR MAJLIS PELANCARAN........

AKTIVITI SEPANJANG MINGGU.........

Thursday, July 23, 2009

PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

APAKAH PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING?

Suatu proses perkhidmatan PERCUMA membantu agar anda dapat memahami diri sendiri, seterusnya membuat penyesuaian dengan persekitaran ke arah kesejahteraan hidup.


MATLAMAT PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

1. Menolong pelajar supaya berkemampuan membuat penyesuaian dan perubahan tingkah laku yang diperlukan.

2. Menolong pelajar memahami diri dan orang lain supaya mereka mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan membuat keputusan yang munasabah dalam menyelesaikan masalah.

3. Membantu pelajar melihat kelemahan dan kekuatan yang ada pada diri supaya dapat merancang hidup mereka dengan lebih berkesan.

4. Melayani keperluan-keperluan pelajar bagi perkembangan potensi dan kebolehan mereka.

5. Menolong pelajar memperolehi pencapaian yang baik dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.

6. Membentuk pelajar supaya menjadi seorang yang berdisiplin, berdikari, bertanggungjawab, rajin, berdaya saing dan mampu mencetuskan idea yang bernas.

7. Membantu pelajar dalam pemilihan kerjaya dan penentuan masa depan.

8. Membantu sekolah di dalam mencapai matlamat dan hasrat sekolah.

BAGAIMANA SESI DIJALANKAN?

KAUNSELING INDIVIDU

Pertemuan secara bersemuka antara seorang guru kaunseling dengan seorang pelajar.

  • Anda bersama guru kaunseling berbincang selama 30 hingga 40 minit dalam setiap sesi.
  • Menjalinkan hubungan yang baik antara guru kaunseling dan anda.
  • Membantu anda membina kemahiran/ keyakinan/menyelesaikan masalah.
  • Membantu anda membuat keputusan yang rasional dan praktikal.

KAUNSELING KELOMPOK

Pertemuan anda dan rakan-rakan kelompok dengan guru kaunseling pada masa yang dipersetujui semua ahli kelompok (2 – 10 orang pelajar).

  • Berkongsi idea dengan rakan-rakan secara jujur dan berterus-terang.
  • Sesi berjalan selama 45 minit hingga 1jam 30 minit dalam setiap sesi.
  • Meningkatkan kemahiran sosial pelajar.
  • Semua ahli kelompok tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh kelompok itu sendiri.

APA YANG HENDAK DIBINCANGKAN?

Perkara-perkara yang berkaitan dengan :

  • Pelajaran
  • Keluarga
  • Peribadi
  • Sosial
  • Emosi
  • Kerjaya
  • Peluang melanjutkan pelajaran dan lain-lain

Tuesday, July 21, 2009

KATA MOTIVASI..

Manusia CEMERLANG fokus kepada kerja penting walaupun tidak seronok sementara manusia LEMAH fokus kepada kerja seronok walaupun tidak penting.
(Dr Shukri Abdullah)

It's Your ATTITUDE

Not Your APTITUDE

That Determine Your ALTITUDE(Zig Ziglar)KEJAYAAN bukan bermakna tidak pernah membuat kesilapan, tetapi mencuba sekali lagi dengan lebih baik setiap kali setelah membuat kesilapan.
(Dr Shukri Abdullah)

MEMBENTUK MATLAMAT CEMERLANG KEPENTINGAN MEMBINA MATLAMAT 1. MENGETAHUI KEBOLEHAN DIRI Apabila sesuatu matlamat dibina, kita akan...