Tuesday, September 22, 2009

4 LANGKAH BAGAIMANA MENGEKALKAN KESAN PERUBAHAN POSITIF DALAM DIRI

1. Tekad untuk bersikap positif, berfikiran positif sepanjang masa. Elak segala yang negatif walaupun sedikit ( cakapan negatif, fikiran negatif, sikap negatif, tindakan negatif).
Unsur negatif yang sedikit akan menghilangkan sikap positif serta merta.Sikap positif akan membuat Anda dapat mengekalkan perubahan dalam diri lantas menyerapnya menjadi sebahagian daripada tabiat biasa.Sikap negatif, walaupun sedikit, akan melunturkan perubahan yang dibina. Selagi sikap negatif tidak dikurangkan, selagi itu kita akan mengalami kesukaran untuk mengekalan kesan perubahan.

2. Disiplin. Jaga disiplin, latih diri berdisiplin dalam mengekalkan perubahan yang dicipta. Sesudah berubah, jika perubahan, kekalkannya dengan disiplin. Disiplin yang terjaga akan membentuk peribadi tersendiri.

3. Ransang diri dengan cakapan-cakapan positif di dalam hati. Ingat kisah-kisah kejayaan orang lain yang pernah Anda baca.Bayangkan bagaimana kecekalan mereka. Jika mereka boleh membentuk kecekalan hati, bermakna Anda juga boleh. Jika orang lain boleh buat, Anda juga boleh. Fikirkan boleh!

4. Gambarkan imej diri yang diinginkan. Jika Anda tekad nak merubah diri menjadi rajin, gambarkan diri Anda sebagai orang rajin di dalam imaginasi minda. Bayangkan sekerap mungkin imej tu difikiran, seolah-olah ia adalah gambar pegun yang terpampang di depan mata Anda.Jika Anda nak merubah diri menjadi orang yang kaya dengan idea, bijak berkomunikasi, bayangkan diri Anda menjadi orang sedemikian. Lama kelamaan bila Anda selalu melakukan teknik ini, Anda akan terbiasa dengan sikap tersebut, menjadikannya perubahan yang dicipta kekal dalam diri.Sebab, minda separa sedar akan menangkap bayangkan minda yang ada difikiran Anda lantas mengatur sistem saraf, otot dan bahan kimia dalam badan supaya menjadi seperi yang Anda bayangkan.Apa yang kita fikirkan tentang diri kita, itulah yang akan jadi tanpa kita sendiri sedari.

Tuesday, September 15, 2009

PERMOHONAN KEMASUKAN KE MRSM TAHUN 2010

PERMOHONAN DI TUJU KHAS UNTUK MURID TINGKATAN 3
TAHUN 2009.

Sesiapa yang berminat boleh menpadatkan NOMBOR PIN (SECARA PERCUMA) di semua PEJABAT MARA NEGERI, PEJABAT MARA DAERAH DAN
MAKTAB RENDAH SAINS MARA
mulai 28 SEPTEMBER 2009 dan boleh terus mengisi
BORANG PERMOHONAN ONLINE MULAI TARIKH TERSEBUT.
JANGAN LUPA!!!
Bawa salinan kad pengenalan, surat beranak dan keputusan peperiksaan percubaan 2009 yang telah disahkan benar, semasa mendapatkan nombor pin.
SYARATNYA....
LULUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR 2009 sekurang-kurangnya LULUS dalam subjek MATEMATIK dan SAINS
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila ke
Unit Bimbingan dan Kaunseling, berjumpa kaunselor anda....
TARIKH TUTUP PERMOHONAN
25 OKTOBER 2009

Sunday, September 13, 2009

MENCARI MALAM YANG LEBIH BAIK DARIPADA SERIBU BULAN

Kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya tidak terbatas dengan penciptaan alam dan segala isinya. Malah hamba-Nya dikurniakan pula dengan satu malam yang amat istimewa iaitu Lailatulqadar atau malam yang amat bernilai. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Qadr ayat 3, yang bermaksud:

"Malam Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan".

Bagi mereka yang ingin mendapatkan keredhaan dan pahala yang banyak dan berganda, maka malam ini amat ditunggu-tunggu. Satu malam beribadat sama pahala dan ganjarannya seperti beribadat selama seribu bulan. Dengan kata lain, sesiapa yang dapat beribadat pada malam tersebut, seolah-olah telah beribadah selama 83 tahun 4 bulan. Betapa besar dan hebatnya nikmat kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Bagi mereka yang tahu menghargainya, ia adalah hadiah yang tidak ternilai, satu kurniaan daripada Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Persoalannya, bilakah berlakunya Lailatulqadar? Itulah persoalan yang sering menjadi tanda tanya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Salim daripada bapanya, katanya: seorang lelaki bermimpi melihat malam al-Qadr iaitu pada malam ke-27 bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Aku bermimpi seperti mimpimu iaitu pada 10 malam yang akhir kerana itu carilah dia pada malam-malam yang ganjil".
(HR Muslim)
Sesetengah ulama berpendapat malam Lailatulqadar yang istimewa ini mempunyai beberapa tanda atau alamat yang membezakannya dengan malam-malam yang lain. Antaranya:

1. Keadaan malam yang terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, tidaklah terlalu panas dan tidaklah pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancarkan cahayanya.
2. Air laut yang masin bertukar menjadi tawar.
3. Pokok seolah bersujud ke bumi dan kemudian akan tegak kembali seperti asalnya.
4. Matahari akan terbit pada keesokan paginya dengan sinaran yang lemah. Ia terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah s.w.t. telah mengharamkan syaitan keluar bersama matahari pada hari itu. Sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit.

Demikianlah sebahagian kecil tanda Lailatulqadar. Apa yang lebih penting ialah mengisi malam sepuluh yang terakhir dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah, dengan memperbanyakan amal ibadat seperti solat sunat, zikir, munajat, doa dan membaca al-Quran lebih daripada malam-malam Ramadhan yang lain kerana saat itu ibadat digandakan dan doa pula dikabulkan Allah. Tiada lagi malam yang lebih hebat daripada Lailatulqadar.

Mudah-mudahan Allah pertemukan kita dengan malam Lailatulqadar, hanya Allah kita mohon kekuatan dan hanya kepada Allah kita berserah.

SUCIKAN JIWA

Bulan Ramadhan adalah masa terbaik untuk kita menyucikan jiwa. Inilah masa untuk melentur jiwa supaya patuh dan taat pada perintah Allah. Jiwa yang selama ini melakukan maksiat kepada Allah, perlu disucikan. Tidak ada peluang yang lebih baik untuk mensucikan diri selain Ramadhan kerana di bulan yang penuh dengan limpahan keberkatan ini, syaitan dibelenggu sebagai tanda kemuliaan Ramadhan. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

"Apabila datang Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan"
(HR al-Bukhari dan Muslim)
Jiwa kita diumpamakan sebagai sebuah mentol yang terang. Namun setiap kali kita melakukan dosa dan maksiat, satu titik hitam akan melekat ke dalam hati dan jiwa kita. Lama kelamaan mentol yang bersinar terang itu akan dilitupi oleh titik hitam sehingga mentol yang terang itu tidak dapat lagi menembuskan cahayanya. Begitulah jiwa kita yang perlu dibersihkan supaya cahayanya dapat memancar untuk menunjuk jalan. Oleh itu, sucikanlah jiwa dengan banyak beristighfar mohon keampunan daripada Allah atau sesama makhluk. Bertaubatlah dengan taubat nasuha iaitu:
1. Segera meninggalkan maksiat yang dilakukan.
2. Menyesal di atas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.
3. Berazam untuk tidak akan mengulangi lagi maksiat.
Itulah syarat taubat nasuha yang dapat menyucikan jiwa. Apabila jiwa telah suci akan terpancarlah hidayah Allah. Apabila jiwa telah dipenuhi dengan hidayah Allah dan syaitan pula telah dibelenggu dengan kemuliaan Ramadhan, maka inilah masanya, Subuh tidak lagi terlewat malah saat menunggunya diisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Inilah masanya, tangan berjabat mengeratkan silaturrahim, hati diisi dengan kasih sayang melalui zakat, membuang dendam dan dengki yang selama ini terpatri di hati. Inilah masanya tiada lagi kata nista, umpat dan keji melata di bibir. Inilah masanya, alunan zikir bertali arus menunjukkan rindu kasih seorang hamba kepada Tuhannya. Inilah masanya, tangan kanan menghulur sumbangan kepada yang memerlukan sebagai tanda persaudaraan sesama Islam. Jiran tetangga bertukar juadah, mengeratkan hubungan 'saudara' terdekat. Inilah masanya, ibu bapa diziarahi, hubungan silaturrahim diperbaiki dan pusara dikunjungi. Inilah masanya, pakaian yang labuh dan menutupi aurat menjadi pilihan, tiada lagi yang jarang atau kurang bahan. Inilah masanya...masjid dan surau dipenuhi dengan umat Islam yang ingin mendekatkan diri kepada Allah melalui solat berjemaah termasuklah solat tarawih. Inilah masanya, doa dipanjatkan, semoga kehidupan di dunia diberkati, kehidupan di akhirat bahagia menanti.Inilah masanya, sucikan jiwa dan ikhlaskan hati bagi kita memulakan hidup baru, sebagai garis permulaan ke arah kejayaan abadi di dunia dan di akhirat.
Mudah-mudahan, Ramadhan kali ini dapat menyucikan jiwa kita daripada segala dosa yang sekian lama menutup jiwa kita. Mohonlah keampunan dan pertolongan daripada Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Wednesday, September 9, 2009

UJI MINDA

Seekor kura-kura dan arnab telah mengambil keputusan untuk mengadakan pertandingan berlari sejauh 3000 meter. Kedua-dua mereka perlu berehat untuk tidur selama 5 minit setelah berlari sejauh 1000 meter. Yakin bahawa dia mampu menang dalam pertandingan tersebut, sang arnab telah membenarkan sang kura-kura bermula lebih awal 15 minit daripadanya. Jika kelajuan larian sang arnab ialah 200 meter seminit dan kura-kura pula 100 meter seminit, siapakah yang akan menang dalam pertandingan ini?


"SELAMAT MENCUBA"
PERLUKAN JAWAPAN?
Datanglah ke Unit Bimbingan dan Kaunseling...
berjumpa dengan kaunselor anda...

SENTIASA RIANG SERTA MUDAH KETAWA

Jika kita sentiasa riang, mudah ketawa, mudah senyuman dan gemar berjenaka, maka kiata kan disukai ramai. Orang mudah dan gemar bergaul dengan kita. Selalulah berjenaka dan fikirkan bahan jenaka yang menarik, yang boleh membuat orang tertawa dan senang hati. Kerap berlatih. Cuba ikuti lagak dan jenis jenaka yang biasa dibuat oleh ahli lawak terkemuka di televisyen. Catatkan jenaka yang menarik, yang didengar dalam buku catatan. Rujuk buku catatan itu, setiap kali anda mahu berjenaka.
Pastikan bahan lawak anda tidak bersifat kasar atau mengandungi unsur bahasa yang kesat dan boleh menyinggung perasaan orang lain. Sebaik-baiknya gunakan diri anda sebagai bahan jenaka untuk mencuit hati orang. Penglibatan anda dalam kebanyakan jenaka atau bahan lucu, akan memperlihatkan kelemahan atau kekurangan sendiri. Dalam perjalanan menuju ke mercu kejayaan, anda pasti melalui banyak rintangan dan cabaran yang berliku. Pada masa yang sama, ada juga peristiwa lucu yang berlaku. Ceritakan peristiwa lucu itu dengan sikap terbuka, sekalipun mungkin peristiwa berkenaan memperlihatkan kedaifan anda. Ketawa.Jika anda mudah ketawa, anda mudah mendapat kawan.
Dipetik dari buku 100 Prinsip Tindakan
Petua-petua untuk membina
kehidupan yang bahagia
JAMIL HASHIM

CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG MUDAH DITERIMA

Untuk menjalankan tugas-tugas mendorong orang bawahan, seseorang pemimpin atau ketua perlu menjadi seorang yang mudah disukai oleh orang bawahannya. Ini tidak pula bermakna pemimpin itu perlu menjadi seorang yang popular disebabkan dia tidak mahu bersikap tegas dan mengambil tindakan yang tidak popular ke atas orang bawahan yang melanggar peraturan. Ciri mudah diterima dan disukai oleh orang bawahan adalah perkara penting kerana seseorang pemimpin itu hanya dapat mempengaruhi mereka yang dipimpinnya supaya mengubah sikap, pemikiran dan tingkah lakunya apabila mereka menyukai si pemimpin.
Tahap pertama apabila hendak mendorong orang-orang bawahan adalah dengan menjadi orang yang mudah diterima, dihormati dan disukai oleh mereka. Apabila mereka suka kepada si pemimpin mereka akan suka dengan kehadirannya di mana mereka suka bertemu, berkenalan, bekerja dengannya. Bagi pemimpin yang mempunyai daya pengaruh yang tinggi langkah pertama ialah memperbanyakkan ciri-ciri peribadi yang menjadikannya mudah disukai.
Pakar-pakar psikologi dan komunikasi memberi panduan bagaimana menjadi orang yang mudah disukai:
BERI KERJASAMA TANPA DIMINTA
Tingkatkan sikap mudah menyumbang dan memberikan kerjasama kepada sesiapa sahaja. Dalam erti kata lain, seseorang itu mesti suka menolong orang-orang lain. Orang yang pernah menerima pertolongan menyukai orang yang pernah menolongnya. Kajian-kajian pakar psikologi mendapati orang yang pernah menerima pertolongan mudah terpengaruh oleh kata-kata, pandangan dan nasihat orang yang pernah menolongnya. Kajian juga mendapati perkara yang sebaliknya juga berlaku, iaitu seseorang itu cenderung menyukai orang yang pernah ditolongnya.
BERSIKAP BAIK HATI
Jadilah orang yang jujur, ikhlas dan berbaik hati. Gambarkan sifat-sifat mulia itu dalam percakapan dan perbualan. Apabila bercakap, bercakaplah berkenaan perkara-perkara yang baik sahaja, tetapi jangan bersandiwara kerana sebaik-baik orang tahu seseorang itu cuma berpura-pura baik, kesan negatif itu berkekalan. Seseorang itu tidak mungkin dapat membuat orang-orang yang mencurigai kejujuran dan keikhlasannya menyukai dirinya.
SABAR MENDENGAR
Banyakkan mendengar daripada bercakap. Biar orang yang hendak dipengaruhi itu yang mendapat banyak peluang bercakap. Adalah sifat manusia suka mendengar suaranya sendiri barulah dia bersikap terbuka kepada pandangan dan nasihatnya dan dengan itu barulah kita dapat mempengaruhinya.
MURAH DENGAN PENGHARGAAN
Tingkatkan kemahiran menarik minat orang lain disebabkan manusia sentiasa menghargai kata-kata pujian. Gunakan teknik-teknik yang betul apabila memberi pujian. Selalulah ucapkan kata-kata penghargaan. Manusia mudah terpengaruh dengan kata-kata orang yang pandai memberi pengiktirafan dan penghargaan kepadanya. Orang yang pernah menerima pengiktirafan, pujian dan penghargaan daripada seseorang akan bersikap lebih terbuka kepada pendapat dan nasihat orang itu, sebaliknya mereka tidak suka orang yang banyak mengkritik dan menegur mereka meskipun niatnya adalah baik.
GUNAKAN BAHASA POSITIF
Apabila bercakap-cakap dan berbual-bual gunakan gaya positif dan kooperatif. Gaya positif tidak menggunakan perkataan-perkataan negatif. Gaya kooperatif pula bermakna seseorang itu tidak tunjuk dia seorang yang lebih pandai dengan cara membuktikan orang lain bodoh, salah, atau tidak betul. Orang yang tidak pandai berkomunikasi cenderung membuktikan orang lain salah bagi membuktikan dirinya betul dan lebih pandai. Tidak ada orang yang suka dirinya dibuktikan salah ataupun lebih bodoh daripada orang lain. Orang yang pernah dibuktikan bodoh, salah atau pun silap tidak akan menyukai orang itu. Gunakan cara-cara lembut dan sopan bagi membuktikan dirinya betul.
BERMINAT PADA ORANG LAIN
Apabila berbual-bual, jangan hanya berminat pada diri sendiri.Ada orang suka bercakap "saya....saya...saya..." yang sangat membosankan orang yang mendengar oleh itu berjimat cermat apabila menggunakan perkataan 'saya'. Manusia memang berminat dengan dirinya sendiri dan mereka menyangka cerita mereka adalah paling menarik untuk diperdengarkan kepada orang-orang lain. Bagi disukai oleh orang lain, jangan banyak bercerita tentang diri sendiri, sebaliknya galakkan orang lain bercerita tentnag diri mereka sendiri.
BERSIKAP AFIRMATIF
Apabila sedang berkomunikasi ucapkan kata-kata yang membuat rakan bual berasa seronok menjadi dirinya sendiri. Gambarkan seseorang itu seronok dapat mendengar biji butir perbualan rakan bualnya dengan cara tekun mendengarnya bercakap. Elakkan daripada menyampuk atau pun menyambung ayat-ayatnya. Jangan mencelah dan jangan memandang ke tempat lain dengan cara itu keperluan jiwanya akan terisi. Manusia suka kepada manusia-manusia lain yang pandai mengisi keperluan jiwanya.
Kemahiran komunikasi adalah kemahiran yang sangat besar gunanya. Menurut kajian, orang-orang yang mahir berkomunikasi dipandang sebagai orang yang mempunyai daya tarikan. Mereka juga dipandang lebih tampan, lebih manis dan lebih jelita daripada diri mereka yang sebenarnya. Ini tidaklah menghairankan kerana dengan menggunakan teknik-teknik komunikasi yang betul, setiap kali mereka itu bercakap, mereka pandai membuat orang lain berasa seronok. Akibatnya, orang yang berpeluang bercakap-cakap dan berbual-bual dengan mereka akan jatuh suka dan tertarik kepada mereka.

MEMBENTUK MATLAMAT CEMERLANG KEPENTINGAN MEMBINA MATLAMAT 1. MENGETAHUI KEBOLEHAN DIRI Apabila sesuatu matlamat dibina, kita akan...