Monday, June 5, 2017

MEMBENTUK MATLAMAT CEMERLANG

KEPENTINGAN MEMBINA MATLAMAT

1. MENGETAHUI KEBOLEHAN DIRI

Apabila sesuatu matlamat dibina, kita akan dapat mengukur diri kita sama ada kita boleh mencapainya atai tidak. Di sinilah kita dapat menilai sama ada kita beruoaya melakukannya dengan cemerlang. Kesanggupan kita untuk meneruskan usaha ke arah matlamat itu akan mewujudkan nilai untuk mencapai kecemerlangan.


2. AMBIL PELUANG

Dengan mempunyai matlamat tertentu, kita akan mengambil peluang untuk membuang ciri-ciri kelemahan yang ada dalam diri kita. Matlamat tersebut akan menyebabkan kita berusaha dengan lebih gigih. Dalam hidup ini bukan semua benda datang sendiri. Bak kata pepatah, "Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya,""Yang pipih tidak datang melayang dan yang bulat tidak datang menggolek, tanpa usaha".


3. BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP MASA DEPAN

Sesuatu matlamat akan menyebabkan kita bertanggungjawab terhadap masa depan kita. Tanggungjawab ini bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk generasi akan datang.


4. BUAT KEPUTUSAN

Matlamat juga akan membuatkan seseorang itu membuat keputusan yang berani. Dengan adanya keputusan tertentu, ini bermakna seseorang itu sanggup menghadapi sebarang risiko. Ini bermakna seseorang itu sentiasa berhati-hati dalam menjalankan usaha untuk mencapai sesuatu matlamat.


5. MEMBANTU DAN MEMPENGARUHI ORANG LAIN

Dalam kita berusaha untuk mencapai matlamat sendiri, kita akan dapat mendisiplinkan diri kita demi kejayaan yang hendak dicapai. Sudah pastinya jika kita inginkan yang diimpikan, kita akan berusaha bersungguh-sungguh. Segala perlakuan kita yang positif mungkin boleh menjadi panduan kepada orang lain yang ingin berjaya seperti kita. Dengan itu sekali gus kita telah dapat membantu orang lain mengejar cita-cita mereka.


6. MENAMBAHKAN TENAGA

Setiap matlamat akan membentuk tenaga baru dalam diri kita. Untuk mengejar matlamat sudah pastinya kita akan mencari pelbagai idea untuk memastikan matlamat kita tercapai. Dengan cara ini kita tidak sedar berapa banyak tenagakah yang kita telah gunakan untuk mencapai ke arah itu.


7. MENAMBAHKAN NILAI-NILAI BAIK DAN MARUAH DIRI

Terbinanaya matlamat juga akan menyebabkan kita berhati-hai dalam segala tindak tanduk kita dan sekali gus akan menyebabkan kita akan menyerlahkan nilai-nilai baik dalam diri kita. Sekiranya ini dapat dilakukan sudah pastinya maruah diri kita dapat dipelihara.


8. MENAMBAHKAN KEMUNGKINAN MENCAPAI MATLAMAT

Matlamat yang hanya diangan-angankan berkemungkinan akan dilupakan begitu sahaja. Tetapi dengan terbinanya sesuatu matlamat itu akan menyebabkan kita berusaha ke arah itu. 


PRINSIP-PRINSIP MEMBINA MATLAMAT

1. BINA MATLAMAT YANG JELAS

Sesuatu matlamat yang hendak dibina hendaklah yang jelas kepada diri sendiri dan tetapkan sasaran yang hendak dicapai atau diperoleh. Tanpa matlamat yang jelas kita akan sentiasa mengharapkan sesuatu secara kebetulan. Kejelasan matlamat mestilah mempunyai prinsip-prinsip berikut:
a) Jujur
b) Ikhlas ke jalan Allah SWT
c) Jangka masa yang sesuai
d) Buat jangkaan halangan
Setiap pembinaan matlamat perlu menekankan ciri-ciri yang menuju ke jalan Allah SWT. Matlamat yang tepat diibaratkan seperti satu daya yang akan memimpin dan mengawal perjalanan anda ke arah impian yang hendak dicapai.


2. JANGKA MASA YANG TEPAT

Seboleh-bolehnya sesuatu matlamat itu ditetapkan jangka masa pencapaiannya. Misalnya mengikut jangka masa hari, bulan, tahun, umur, ilmu dan sebagainya. Jangka masa ini adalah untuk memudahkan kita meniali usaha kita ke arah pencapaian matlamat tersebut.


3. BENTUK MATLAMAT YANG SPESIFIK

Kebanyakan manusia dalam dunia ini mempunyai matlamat terbuka. Misalnya:
a) Untuk berjaya dalam hidup
b) Untuk mempunyai hubungan yang baik sesama manusia
c) Untuk menjadi kaya
d) Menjadi popular
Matlamat yang spesifik yang dimaksudkan ialah hasrat atau kemahuan yang benar-benar kita mahu. Misalnya, saya akan mendapat semua A+ dalam peperiksaan SPM pada tahun ini. Fokuskan apa yang kita kehendaki.


4. BERKAITAN DAN BERGUNA

Setiap matlamat yang hendak dilakukan mestilah yang berkaitan dengan kemahiran yang kita ada dan juga boleh digunakan untuk kebaikan. Matlamat spesifik yang memudaratkan harus dijauhkan. Ia juga perlu realistik dan boleh dicapai.


5. BERSUNGGUH-SUNGGUH DAN MINAT YANG MENDALAM

Ciri-ciri kesungguhan dan komitmen yang mendalam merupakan tunggak pencapaian sesuatu matlamat yang telah dibentuk. Perangai 'hangat-hangat tahi ayam' tidak akan membawa kita ke mana-mana. Menemui kegagalan bukan bererti kita sudah gagal kerana kegagalan adalah kekalahan sementara tetapi kekecewaan adalah kegagalan yang berkekalan.


6. SABAR

Membina sesuatu matlamat bukan boleh dibuat secara terburu-buru. Pastikan apa yang diperlukan dan jelaskan kemahuan yang benar-benar supaya tidak timbul penyesalan di kemudian hari. Kegagalan bukanlah sesuatu yang muktamad sehingga anda berhenti mencuba dan kecewa.

MEMBENTUK MATLAMAT CEMERLANG KEPENTINGAN MEMBINA MATLAMAT 1. MENGETAHUI KEBOLEHAN DIRI Apabila sesuatu matlamat dibina, kita akan...